Keluarga Kita

Monday 30 April 2012

Benarkah, WANITA 1 AKAL, 9 NAFSU?


        Sejak sekian lama masyarakat Islam di negara kita sentiasa terdedah dengan perkara yang pelik lagi menarik. Manusia memang berminat untuk mengetahui, mengeluar dan menyebarkan cerita-cerita yang karut, samada secara lisan, tulisan, filem atau apa saja.
          Cerita bahawa kaum lelaki memiliki 9 akal dan 1 nafsu, manakala perempuan pula sebaliknya, iaitu 1 akal dan 9 nafsu memang amat masyhur sekali di kalangan kita. Ia telah  dilihat dan diterima oleh masyarakat kita sebagai sesuatu yang benar. Jika ditanya dari manakah sumber fakta ini diambil, mereka akan menjawabnya; mendengarnya daripada para alim ulama’.


           Kata-kata sakti ini dinukilkan daripada dialog yang berlaku di antara Imam al-Hasan al-Basri dengan tokoh Sufi yang masyhur, Rabiatul Adawiyah rahimahumalLah. Iaitu semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya. Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan al-Hasan telah menjawab sebagaimana di atas, iaitu 9:1 dan 1:9.


           Demikianlah kisah yang didakwa telah berlaku di antara dua tokoh besar dalam Islam. Kisah ini telah dinukilkan oleh Usman al-Khaubawi, dalam kitabnya “Durrah an-Nasihin” , (dalam buku ini jugalah terdapat hadis masyhur di kalangan orang Melayu tentang kelebihan tertentu setiap malam solat terawih).
Menurut al-Fadhil Dr Abu Zaid, Ahmad Najib Abdullah al-Qari [mantan pensyarah KIAS, sekarang di APIUM, Nilam Puri] melalui makalah beliau dalam majalah “Pengasuh” terbitan MAIK bil 623:
           Cerita ini tidak benar sama sekali untuk dinisbahkan kepada al-Hasan al-Basri (apalagi kepada Rasulullah saw) kerana ia diambil daripada sumber yang tidak sahih. Hujahnya mudah sahaja, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H.  Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pendapat yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H [Lihat: Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’: 8341].
             Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, bagaimana pula boleh berlaku dialog sedemikian di antara mereka berdua?
             
            Benarkah ucapan ini benar2 dari imam hassan basri?? Sebagaimana yang ditulis dalam penerangan diatas menunjukkan agak mustahil berlaku dialog antara Imam Hassan Albasri dgan Rabiatul Adawiyah. Kata-kata ini begitu masyur dikalangan masyarakat melayu, bahkan jika dilihat sebenarnya ia menjadi fitnah kepada kaum hawa. Selalunya kaum adam akan mengatakan kaum hawa ini tak fikir panjang, cepat emosi, buat keputusan tergesa-gesa kerana mereka 1 Akal, dan kaum hawa juga hanya memikirkan tentang  kebendaaan/materislistik dan mata duitan, kerana mereka 9 Nafsu. Tidakkah ini satu diskriminasi buat kaum hawa.


         Islam mengangkat martabat kaum wanita, menjaga kehormatan kaum wanita. Masing2 lelaki dan perempuan diciptakan mempunyai kekurangan dan kelebihan masing2 untuk kita saling melengkapi. Seorang lelaki wajib mentaati ibunya, manakala isterinya wajib mentaatinya. Kita mesti saling menghormati antara sesama makhluk. Allah menciptakan manusia dengan kelebihan dan kekurangan masing2. Gunakan kelebihan yang dikurniakan Allah untuk membantu agamaNya, dan cubalah untuk memperbaiki kelemahan diri kita.


         Kalau ada orang cakap pasal ni, bagitau dia 1) Kata-kata ni bukan dari Nabi Muhammad(maka ia bukanlah satu hujah/nas). 2) Orang menyabitkan kata-kata ini kepada Hassan Al-Basri tetapi setelah dibuat penelitian maka tidak sabit juga dari Hassan Albasri. Maka katakan pada mereka hentikanlah menyebarkan kata-kata ini.




           Wallahua'lam.

Wednesday 18 April 2012

Siri 2 - Qaedah asal sesuatu itu adalah HALAL dan SUCI



1- PENGERTIAN KAEDAH INI DAN SANDARANNYA


         Antara perkara yang tsabit dan diperakui oleh majoriti para ulama' dan tokoh-tokoh penganalisa(muhaqqiqin) bahawa semua perkara adalah suci dari sudut asalnya, sehingga adanya dalil dan bukti  yang menjelaskan sebaliknya. Kerana itu halal untuk mengguna dan mengambil manfaat dari sesuatu yang tidak disabitkan dalil tegahan dan pengharamannya.

Dalilnya, Firman Allah

      Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kmu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah(bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 
(Surah Al-Baqarah:Ayat 29)


        Menurut pengarang Tafsir Al-Manar, ayat ini merupakan dalil qath'i tentang kaedah yang masyur di kalangan para 'ulama' fiqh iaitu, " asal sesuatu yang diciptakan itu adalah harus". Maksud harus disini adalah harus mengambil manfaat daripadanya untuk dijadikan makanan, ubatan, minuman, pakaian, kenderaan dan juga perhiasan. 


        Beliau juga menyatakan asal sesuatu itu adalah halal, berdasarkan sunnah fitrah dan ayat-ayat daripada al-Quran. Allah memudahkan bumi dan segala apa yang ada padanya dan mencungkil rahsia-rahsia dan hikmah-hikmah yang terdapat di sebalik penciptaan Allah.

2.SOKONGAN TERHADAP KAEDAH INI


         Ibnu Taimiyah menyatakan: "Asal sesuatu yang wujud di muka bumi ini dengan kepelbagaian jenis dan sifatnya, adalah suci dan halal secara mutlak kepada manusia, tidak diharamkan memakianya, menggunakannya dan menyentuhnya. Ini merupakan stu ungkapan yang bersifat menyeluruh, umum, jelas, mempunyai manfaat yang besar dan keberkatan yang luas.

         Asy-Syankiti menyebut, kesucian sesuatu itu adalah asal. Perkataan Al-A'yan(Sesuatu) adalah jamak dan mufradnya ialah Al-ayn yang bermaksud sesuatu yang berdiri dengan sendiri iaitu sesuatu itu suci sehingga terdapat bukti yng menjelaskan tentang kenajisannya.

       As-San'ani menyatakan "Sebenarnya asal sesuatu itu adalah suci dan pengharamannya tidak semestinya menunjukkan ia najis.

         Al-Imam Al-Hramain menyatakan "antara perkara yang ditetapkan di dalam kaedah syariah ialah prinsip berpegang dengan hukum asal(Istishab Al-Hukmi) dengan meyakini tentang kesucian sesuatu sehingga timbul keyakinan yang jelas yang ianya adalah najis". Tambah beliau, berdasarkan apa yang diterima pakai oleh Mazhab As-Syafie, mereka meletakkan hukum asal sesuatu itu adalah halal, sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya.

         Disimpulkan disini bahawa, segala sesuatu itu harus,suci dan halal pada asalnya, sehinggalah terdapat dalil(bukti) yang mensabitkan tentang kenajisannya atau pengharamannya.

Tajuk akan datang, Teori perubahan zat(Al-Istihalah).

     

Sunday 15 April 2012

Siri 1 - Pengenalan


Penggunaan bahan-bahan yang HARAM & NAJIS dalam makanan & ubat-ubatan



Pengarang : Dr.Nazih Hammad
Penterjemah: Dr.Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
Penyunting: Noraine Abu
Muka Surat: 158

Umat Islam perlu kepada pendedahan isu-isu baru yang mempunyai hubungan secara langsung dengan kehidupan mereka.

Pengarang buku ini Dr. Nazih Hammad adalah seorang sarjana Islam yang berkaliber. Beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dari Kuliah Darul Al-Ulum, Universiti Al-Qaherah, Mesir dalam bidang syari'ah. Pernah menjadi pensyarah di Fakulti Syari'ah dan Pengajian Islam Universiti Ummul Qura, Makkah Al-Mukarramah. Beliau juga adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Akademi Fiqh Islam di bawah Pertubuhan Mu'tamar Islam dan juga Ahli Jawatankuasa Majlis Fiqh Amerika Utara. Beliau juga telah banyak menghasilkan karya dalam berbagai-bagai tajuk yang berkaitan dengan Syari'ah Islamiyyah.

KANDUNGAN

Bab 1: Qaedah Asal Sesuatu Itu Adalah Halal Dan Suci
- Pengertian Qaedah Ini Dan Sandarannya
- Sokongan-Sokongan Terhadap Qaedah Ini

Bab 2: Teori Perubahan Zat (Al-Istihalah)
- Konsep Teori Perubahan Zat
- Sandaran Teori Perubahan Zat Sesuatu
- 'Ulama' Yang Berpegang Dengan Teori Perubahan Zat
- Sokongan Daripada Teks Fiqh

Bab 3: Teori Hancur Zat (Al-Istihlak)
- Konsep Teori Hancur Zat
- Sandaran Teori Hancur Zat
- 'Ulama' Yang Berpegang Dengan Teori Hancur Zat
- Sokongan-Sokongan Daripada Teks Fiqh

Bab 4: Teori Dharurah Dan Hajat Untuk Berubat
- Definisi Dharurah
- Konsep Teori Dharurah
- Sandaran Teori Dharurah
- 'Ulama' Yang Berpegang Dengan Teori Dharurah
- Ukuran Fiqh Terhadap Keadaan Dharurah

Bab 5: Adakah Arak Najis Dari Segi 'Ainnya?
- Ijtihad Ulama

Bab 6: Adakah Benda-Benda Yang Memabukkan Itu Najis? Apakah Hukum Mengambilnya?
- Hukum Mengambil Benda-Benda Yang Memabukkan

Bab 7: Penggunaan Alkohol Athyl
- Hubungan Alkohol Athyl Dengan Arak
- Hukum Penggunaan Alkohol Di Dalam Pemprosesan Membuat Minyak Wangi Dan Ubat-Ubatan
- Adakah Harus Meminum Ubat-Ubatan Yang Mengandungi Kuantiti Kecil Alkohol?
- Adakah Harus Megambil Makanan Yang Mengandungi Kuantiti Tertentu Alkohol?

Bab 8: Kenajisan Bangkai Dan Hukum Keju Yang Diperbuat Daripada Pepsin Bangkai
- Sejauh Manakah Kenajisan Bangkai Menurut Perspektif Islam
- Hukum Keju Yang Bercampur Dengan Pepsin Bangkai

Bab 9: Penggunaan Bahan-Bahan Yang Terdapat Pada Badan Khinzir Di Dalam Pemprosesan Makanan, Ubat-Ubatan Dan Lain-Lain
- Pengharaman Dan Kenajisan Khinzir
- Penggunaan Bahagian-Bahagian Khinzir Di Dalam Proses Pengeluaran Makanan Masakini
- Makanan-Makanan Yang Dicampurkan Dengan Lemak Khinzir Di Dalam Pemprosesannya
- Gelatin Yang Dikeluarkan Daripada Khinzir
- Hukum Keju Yang Diperbuat Daripada Pepsin Khinzir
- Penggunaan Bahan-Bahan Khinzir Di Dalam Rawatan Perubatan Masakini
- - Penggunaan Insulin Yang Berasal Daripada Khinzir
- - Penggunaan Kulit Khinzir Di Dalam Pembedahan Penampalan Kulit
- Penggunaan Bahan-Bahan Daripada Khinzir Di Dalam Industri-Industri Yang Lain
- - Pertama: Kulit Khinzir Yang Disamak
- - Kedua: Mengambil Manfa'at Daripada Bulu Khinzir
- - Ketiga: Sabun Yang Diperbuat Daripada Lemak Khinzir
- - Keempat: Ubat Gigi Yang Mengandungi Sesetengah Bahan Yang Diambil Daripada Khinzir
- - Kelima: Bedak Dan Krim Yang Dimasukkan Lemak Khinzir

Bab 10: Penyulingan Air Kumbahan Melalui Teknik Moden

Bab 11: Pemakanan Binatang Dengan Makanan-Makanan Najis

Bab 12: Penggunaan Bahan-Bahan Yang Memabukkan Di Dalam Rawatan Perubatan Dan Ubat-Ubatan

Bab 13: Rawatan Menggunakan Emas

Siri 1 - Pengenalan


Membersihkan Diri Dan Masyarakat Daripada Bid'ah dan Khurafat


Membersihkan Diri Dan Masyarakat Daripada Bid'ah dan Khurafat

Pengarang : Syeikh Muhmmad Al-Ghazali, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili 

Penterjemah: Prof.Madya Dr.Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
Disemak Oleh: Dr.Mohd. Puzhi Usop
Muka Surat: 437




Kata ulama' - Musuh bagi Tauhid adalah syirik dan khurafat, manakala musuh bagi Sunnah Nabi SAW adalah bid'ah. 
Bid'ah dan khurafat boleh diumpamakan sebagai barah atau kanser dalam agama. Sekiranya tidak dicegah dan diredakan dari awal dan akarnya, ia mampu memusnahkan akidah umat Islam. Lebih-lebih lagi bagi kita umat akhir zaman ini yang semakin besar dan hebat cabarannya. Dihimpit oleh kepesatan serta perkembangan teknologi dan kemodenan. Zaman yang dipenuhi dengan godaan nikmat dunia yang melekakan serta penuh dengan fitnah-fitnah akhir zaman. 

Disebalik kepesatan itu sesetengah individu mencari jalan pintas untuk mengisi kekosongan jiwa mencari kebenaran. Inilah yang sering membawa mereka ke lorong yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. AI-Qur'an dan Sunnah tidak dijadikan asas utama di dalam kehidupan. lni boleh melemahkan dan meruntuhkan agama serta umat Islam.

Bagaimanakah cara untuk menghadapi situasi ini agar tidak menjadi barah yang lebih serius dan kronik?
Pandangan yang diberikan oleh tiga tokoh ulama besar ini iaitu Syeikh Muhammad AI-Ghazali, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dan Syeikh Wahbah AI-Zullaili amat bernas. Sememangnya usaha ulama-ulama Islam sejak dari dahulu hingga sekarang dalam memerangi bid'ah dan khurafat ini tidak pernah susut. Lebih-lebih lagi di era informasi dan ilmu di hujung jari dan dunia tanpa sempadan ini.

Buku ini merupakan salah satu rujukan dan bacaan untuk usaha murni itu. Maka buku ini amat sesuai untuk semua peringkat masyarakat dalam mempersiapkan diri menghadapi tekanan dan dugaan yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuh dan memusnahkan Islam. Bersamalah kita membersihkan diri dan masyarakat daripada unsur-unsur bid'ah dan khurafat agar hidup kita di dunia lebih bermakna dan berkualiti untuk akhirat yang diberkati.

Edisi bedah buku


InsyaAllah kali ni pak cu cuba nk kongsikan intipati dari buku-buku 
yang pak cu baca.

Kalau pak cu sorang sahaja baca, ilmu tu boleh kat pak cu sahaja la.
Kalau kongsi, orang lain boleh dapat manfaat jugak.

Disamping tu, benda ni sebagai satu promosi untuk orang lain.
Kalau berminat dengan buku-buku yang pak cu kongsikan ni boleh beli 
sendiri dan telaah dengan lebih mendalam.

Wallahua'alam.