Keluarga Kita

Thursday, 4 October 2012

Adab Makan Yg Sering Dilupakan

Adab-adab Makan Yang Sering Dilupakan
Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com
1, Makan dengan tangan kanan, Jangan makan seperti Syaitan
Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
“Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Shahih Muslim, no. 2020. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)
Hadis ini menunjukkan perintah agar apabila makan dan minum, hendaklah dengan tangan kanan. Ia juga menunjukkan larangan menyamai amalan atau cara syaitan makan, di mana syaitan apabila makan atau minum, maka mereka makan dan minum dengan tangan kiri.
Hukum menggunakan tangan kanan untuk menyuap makanan ke mulut itu hukumnya adalah wajib kerana asal bagi setiap perintah itu adalah menunjukkan hukum wajib melainkan ada dalil-dalil lain yang mengecualikannya. Atau jika ada udzur-udzur lain yang tidak dapat dielakkan seperti cedera teruk pada tangannya yang kanan, atau lumpuh, atau tidak memiliki tangan sama sekali.
Selain itu, hadis ini juga turut mengkhabarkan tentang sebahagian dari sifat-sifat Syaitan. Iaitu syaitan itu memiliki tangan dan memiliki sifat makan, di mana apabila ia makan, maka ia makan dengan tangan kirinya. Kemudian, disunnahkan kepada kita agar menyelisihi perangai syaitan tersebut.
2, Tidak Sombong Untuk Makan Dengan Tangan Kanan
Dalam Shahih Muslim disebutkan sebuah hadis:
أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِمَالِهِ، فَقَالَ: كُلْ بِيَمِينِكَ، قَالَ: لَا أَسْتَطِيعُ، قَالَ: لَا اسْتَطَعْتَ، مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ، قَالَ: فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ
“Bahawasanya ada seorang lelaki makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun bersabda: “Makanlah dengan tangan kanan engkau.”
Lelaki itu pun berkata: “Aku tidak mampu.” Kata Rasulullah lagi: “Kamu tidak mampu?” (Hakikatnya) tidaklah dia menolaknya melainkan kerana sombong. (kata perawi): Maka setelah itu, dia pun benar-benar tidak mampu menyuap makanan (dengan tangan kanannya) sampai ke mulutnya.” (Shahih Muslim, no. 2021. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)
3, Rasulullah mengajarkan adab makan buat anak kecil
Daripada ‘Umar B. Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil berada di bawah jagaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tanganku ke sana ke mari di ketika makan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَا غُلَامُ، سَمِّ اللهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
“Wahai Ghulam (anak kecil), sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih al-Bukhari, no. 5376. Muslim no. 2022)
Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar mengambil makanan yang paling hampir dengan tempat duduk kita, tidak berebut makanan, tidak sehingga berlaga tangan, tidak menyibukkan diri untuk mengambil makanan yang jauh, disunnahkan agar membaca bismillah ketika hendak makan, dan disunnahkan agar makan dengan tangan kanan. Tetapi dibolehkan sekiranya kita meminta tolong orang lain agar mengambilkan makanan yang jauh untuk kita sebagaimana dalam hadis yang lain.
Hadis ini juga turut menunjukkan kepada kita bagaimana mendidik anak-anak tentang sebahagian dari adab-adab makan dan tidak memarahinya.
4, Apabila Makan, Sebutlah Nama Allah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka sebutlah nama Allah Ta’ala. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah Ta’ala di awalnya, hendaklah dia mengucapkan:
بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
“Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu (dengan nama Allah di awal dan akhirnya).”.” (Sunan Abu Daud, no. 3767. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِي لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ
“Sesungguhnya Syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebut nama Allah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3766. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Seorang lelaki yang menjadi pelayan kepada Rasulullah mengatakan:
أنه كان يسمع النبي صلى الله عليه و سلم إذا قرب إليه طعاما يقول: بسم الله
“Bahawasanya beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila makanan didekatkan (dihidangkan) kepadanya, maka beliau pun mengucapkan: “Bismillah”.” (Ibnu Taimiyah, Kalim ath-Thayyib, no. 190. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852) berkata:
“Dalil yang paling tegas tentang maksud bacaan tasmiyah (ketika hendak makan) adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi dari jalan Ummu Kultsum daripada ‘Aisyah, secara marfu’:
إِذَا أَكَلَ أَحَدكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّه، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّله فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّه فِي أَوَّله وَآخِره
“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka ucapkanlah “Bismillah”. Jika terlupa menyebutnya, hendaklah ia mengucapkan: “Bismillaahi fii awwalihi wa aakhirihi (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” Hadis ini memiliki dukungan (syahid) dari hadis Umayyah B. Makhsyi yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan An-Nasaa’i.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 9/521. Hadis ini terdapat dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 1858 dan dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Boleh juga mengucapkan dengan doa sebagaimana dalam hadis berikut ini. Kata Rauslullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ، وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah dengan makanan, maka ucapkanlah:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan kurniakanlah makanan yang lebih baik lagi.” Dan sesiapa yang dikurniakan minuman berupa susu oleh Allah, maka ucapkanlah:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
“Ya Allah, berkahilah kami padanya dan tambahkanlah untuk kami darinya.”.” (Sunan Abu Daud, no. 3730. Sunan at-Tirmidzi, no. 3455)
5, Doa Makan Yang Masyhur Tetapi Tidak Sahih Dari Nabi
Doa (hadis) yang dimaksudkan tersebut adalah:
أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه: اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ
“Apabila Nabi dihidangkan dengan makanan, maka beliau pun mengucapkan:
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ
“Ya Allah berkahilah kami pada apa yang direzekikan untuk kami, dan jauhilah kami dari ‘azab neraka, bismillah.” (Lihat: al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424,no. 674 – Daar Ibn Khuzaimah, Tahqiq: ‘Amir ‘Ali Yasin)
Kata Syaikh Amir ‘Ali Yasin:
“Hadis ini dha’if jiddan, diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 888, Ibnu as-Sunni, no. 457, dan Ibnu ‘Adi, 6/2212 dari beberapa jalur, “dari Hisyam B. ‘Ammaar, Muhammad B. ‘Isa B. Sami’ menceritakan kepada kami, “Muhammad B. Abi az-Zu’aiza’ah, menceritakan kepada kami, daripada ‘Amr B. Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya…” dengan hadis tersebut.
Sanad hadis ini adalah sanad yang bersangatan lemahnya. Hisyam dan Ibnu Sami’, keduanya dipertikaikan, tetapi masalah yang sebenarnya terletak pada Ibnu Abi az-Zu’aiza’ah, kerana ia tertuduh pendusta lagi matruk (ditinggalkan hadisnya), dan hadisnya mungkar lagi sangat dha’if (syadid adh-dha’if). Dengannya, hadisnya ini dinilai mungkar oleh Ibnu ‘Adi, adz-Dzahabi, dan Ibnu Hajar al-Asqalani. (‘Amir ‘Ali Yasin, al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 424 – Daar Ibn Khuzaimah)
Maka dari itu, hendaklah kita mengutamakan sunnah dan doa-doa yang sahih terlebih dahulu.
6, Jangan Makan Bersama Syaitan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ
“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka  syaitan pun berkata (kepada kaum kerabatnya):
“Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.”
Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata:
“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.”
Apabila dia tidak berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika makan, maka syaitan pun berkata:
“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.”.” (Shahih Muslim, no. 2018. Abu Daud, no. 3765)
Hadis ini menunjukkan apabila kita makan tanpa mengingat Allah dan tanpa membaca bismillah (atau tanpa dzikir yang disunnahkan sebagaimana di atas), maka syaitan akan turut serta makan bersama-sama tanpa kita sedari.
7, Makan berjama’ah (bersama-sama)
Para sahabat Nabi berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَأْكُلُ وَلَا نَشْبَعُ، قَالَ: فَلَعَلَّكُمْ تَفْتَرِقُونَ؟ قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ، وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak merasa puas?” Beliau bersabda: “Mungkin kerana kamu makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, “Ya benar.” Beliau bersabda: “Hendaklah kamu bersama-sama (berjama’ah) ketika makan, dan sebutlah nama Allah atasnya, maka kamu akan mendapat barakah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3764. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Hadis ini selainnnya menunjukkan sunnah mengucapkan bismillah ketika hendak makan, ia juga menunjukkan disunnahkan agar makan secara berjama’ah, bukan sendiri-sendiri kerana padanya terdapat barakah lagi membuatkan kita merasa cukup (kenyang).
8, Minum Dengan Tiga Kali Nafas
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:
كان يشرب في ثلاثة أنفاس إذا أدنى الإناء إلى فيه سمى الله تعالى وإذا أخره حمد الله تعالى يفعل ذلك ثلاث مرات
“Bahawasanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) biasa minum dengan tiga kali nafas (selang seli antara meneguk air dan menarik nafas). Jika bekas minuman menghampiri ke mulut beliau, beliau menyebut nama Allah Ta’ala. Dan jika selesai satu nafas, beliau memuji Allah Ta’ala (mengucapkan tahmid). Beliau lakukan perkara yang sama tiga kali.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/94. Majma’ az-Zawa’id, no. 8259. Al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 3/272, no. 1277)
9, Bacaan (Dzikir) Setelah Makan
Daripada Mu’adz B. Anas, daripada ayahnya ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang makan makanan kemudian mengucapkan:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ
“Alhamdulillaahilladzii ath-amanii haadzaa wa rozaqaniihi min ghairi haulinm minnii wa laa quwwatin” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan merezekikan kepadaku tanpa daya serta kekuatan dariku), maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3458. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan gharib. Manakala al-Albani menilainya hasan)
Juga sebagaimana doa Nabi ini, daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata:
“Setelah Nabi selesai makan, beliau berdoa:
الحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ، رَبَّنَا
“Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik, dan penuh keberkahan padanya. Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, Dzat yang tidak mungkin diabaikan, dan Dzat yang sentiasa diperlukan. Engkaulah Rabb kami.” (Shahih al-Bukhari, no. 5458. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan)
Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مَكْفُورٍ
“Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan memberi kami minum, Dzat yang telah mengurniakan kecukupan, dan yang nikma-Nya tidak kami kufuri (ingkari).” (Shahih al-Bukhari, no. 5459. Bab: Apa Yang Dibaca Sebaik Selesai Makan)
Jika mengucapkan dengan ucapan “alhamdulillah” setelah makan juga dibolehkan berdasarkan hadis berikut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الأَكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا
“Sesungguhnya Allah redha kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sebaik selesai makan dan minum.” (Shahih Muslim, no. 2734)
10, Menjilat Jari Sebelum Mengesat atau Membasuhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا
“Apabila seseorang di antara kamu makan, maka janganlah dia membersihkan (atau mengesat) tangannya sehinggalah dia menjilatnya atau ada orang lain yang menjilatkan untuknya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5456. Bab: Menjilat dan Menghisap Jari Sebelum Dibersihkan Dengan Kain Pengelap)
Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar menjilat sisa-sisa makanan yang masih melekat pada jari-jemari sebelum dibasuh atau dikesat.
11, Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan
Suwaid B. An-Nu’man radhiyallahu ‘anhu berkata:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ، فَلَمَّا كُنَّا بِالصَّهْبَاءِ دَعَا بِطَعَامٍ، فَمَا أُتِيَ إِلَّا بِسَوِيقٍ، فَأَكَلْنَا، فَقَامَ إِلَى الصَّلاَةِ فَتَمَضْمَضَ وَمَضْمَضْنَا
“Kami keluar bersama-sama Rasulullah ke Khaibar. Ketika kami tiba di ash-Shahba’, beliau meminta dibawakan makanan. Tiada apa (untuk dihidangkan) melainkan gandum. Maka kami pun makan. Kemudian beliau berdiri untuk solat, maka beliau berkumur-kumur, dan kami pun berkumur-kumur.” (Shahih al-Bukhari, no. 5454. Lihat juga no. 5455. Bab: Berkumur-kumur Setelah Selesai Makan)
Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar berkumur-kumur sebaik selesai makan terutamanya apabila sebaik selesai makan itu kita hendak segera mengerjakan solat.
12, Mengajak Penyedia Makanan Untuk Makan Bersama
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا أَتَى أَحَدَكُمْ خَادِمُهُ بِطَعَامِهِ، فَإِنْ لَمْ يُجْلِسْهُ مَعَهُ، فَلْيُنَاوِلْهُ أُكْلَةً أَوْ أُكْلَتَيْنِ، أَوْ لُقْمَةً أَوْ لُقْمَتَيْنِ، فَإِنَّهُ وَلِيَ حَرَّهُ وَعِلاَجَهُ
“Apabila pembantu (pelayan) salah seorang daripada kamu menyediakan makanan (untuk kamu) ajaklah dia makan sekali, jika tidak maka hendaklah kamu berikan padanya satu atau dua makanan, atau secubit atau dua cubit darinya. Ini kerana dia telah membantu kamu menyediakannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5460)
 
13, Apabila Makanan Telah Terhidang
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ
“Apabila makan malam telah terhidang dan dalam masa yang sama seruan solat dikumandangkan, maka dahulukanlah makan malam tersebut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5463. Lihat juga: no. 5465, hadis daripada ‘Aisyah)
Nafi’ berkata:
أَنَّهُ تَعَشَّى مَرَّةً، وَهُوَ يَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ
“Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) pernah makan dan dalam masa yang sama suara bacaan imam bersolat telah kedengaran.” (Shahih al-Bukhari, no. 5464)
Hadis ini menunjukkan disukai agar menghabiskan makanan yang telah sedia terhidang terlebih dahulu jika tiba-tiba telah masuk waktu solat. Tetapi sekiranya hidangan makanan tersebut tidak mengganggu kekhusyukkan atau kesempurnaan solatnya, maka dibolehkan dia untuk meninggalkan sementara makanan tersebut (dalam keadaan baik) kemudian dia segera menunaikan solat.
Ini sebagaimana hadis Amr B. Umayyah radhiyallahu ‘anhu:
أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْتَزُّ مِنْ كَتِفِ شَاةٍ فِي يَدِهِ، فَدُعِيَ إِلَى الصَّلاَةِ، فَأَلْقَاهَا وَالسِّكِّينَ الَّتِي كَانَ يَحْتَزُّ بِهَا، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
“Bahawasanya aku nampak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang memotong daging pada peha kambing, tiba-tiba seruan solat berkumandang. Beliau pun meletakkan pisau dan daging di tangannya lalu bergegas menuju solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Shahih al-Bukhari, no. 5462)
14, Tidak Mencela Makanan
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu menyatakan:
مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
“Nabi tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Jika beliau mahu, beliau makan, dan jika tidak suka, beliau meninggalkannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5409)
Maksudnya adalah tidak berkata yang bukan-bukan tentang makanan tersebut walaupun ianya tidak sedap. Tidak mengejeknya, tidak mempersendakannya, dan tidak mencelanya. Sekiranya mahu atau menyukainya, dia boleh makan, dan sekiranya tidak mahu, maka dia boleh untuk tidak memakannya. Dan dalam hadis yang lain, apabila makanan tersebut sedap dan enak, maka dianjurkan memujinya ketika sedang menikmatinya.
Apabila ditanya kenapa kita kenapa tidak makan makanan tertentu, maka dibolehkan menyatakan alasannya dengan baik tanpa memburuk-burukkan makanan tersebut. Ini sebagaimana hadis di mana Rasulullah enggan makan makanan berupa daging dhab (biawak padang pasir). Apabila beliau ditanya sama ada dhab itu haram dimakan, maka Rasulullah mengatakan:
لاَ، وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ
“Dhab tersebut tidak terdapat di kampung halamanku (bukan makanan kebiasaan bagi masyarakatnya), jadi aku rasa tidak biasa dengannya (atau tidak selera terhadapnya).” (Shahih al-Bukhari, no. 5391, 5537)
15, Tidak Disukai Makan Sambil Bersandar
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لاَ آكُلُ مُتَّكِئًا
“Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.” (Shahih al-Bukhari, no. 5398, 5399. Bab Makan Sambil Bersandar)
16, Larangan Makan Dari Bekas Terbuat Dari Emas dan Perak
‘Abdurrahman B. Abi Laila mengkhabarkan:
أَنَّهُمْ كَانُوا عِنْدَ حُذَيْفَةَ، فَاسْتَسْقَى فَسَقَاهُ مَجُوسِيٌّ، فَلَمَّا وَضَعَ القَدَحَ فِي يَدِهِ رَمَاهُ بِهِ، وَقَالَ: لَوْلاَ أَنِّي نَهَيْتُهُ غَيْرَ مَرَّةٍ وَلاَ مَرَّتَيْنِ، كَأَنَّهُ يَقُولُ: لَمْ أَفْعَلْ هَذَا، وَلَكِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لاَ تَلْبَسُوا الحَرِيرَ وَلاَ الدِّيبَاجَ، وَلاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ، وَلاَ تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَنَا فِي الآخِرَةِ
“Bahawasanya ketika mereka (orang-orang) berada di sisi Hudzaifah, Hudzaifah meminta minuman, maka seorang Majusi pun membawa untuknya minuman dalam sebuah bekas di tangannya. Lalu Hudzaifah pun melempar bekas tersebut dari tangannya lalu berkata:
“Kalau bukan kerana aku telah melarangnya lebih dari sekali atau dua kali (tentu aku tidak melemparkannya).” Seolah-olah beliau mengatakan:
“Aku tidak mahu melakukan seperti ini tetapi aku telah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Janganlah kalian memakai sutra, jangan kalian minum dari bekas terbuat dari emas dan perak, dan janganlah kalian makan di atas bekas yang terbuat dari emas dan perak. Kerana semua itu adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia, dan untuk kita di akhirat kelak.” (Shahih al-Bukhari, no. 5426)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
الَّذِي يَشْرَبُ فِي إِنَاءِ الفِضَّةِ إِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِي بَطْنِهِ نَارَ جَهَنَّمَ
“Orang-orang yang minum dengan menggunakan bekas terbuat dari perak sesungguhnya di perutnya akan bergelojak dengan api jahannam.” (Shahih al-Bukhari, no. 5634)
17, Makanan Yang Tidak Dimakan Hendaklah Ditutup
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ، فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ
“Apabila memasuki waktu malam (atau ketika senja), maka tahanlah anak-anak kalian (agar tidak keluar rumah) kerana Syaitan-syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Jika waktu malam telah berlalu beberapa ketika, maka lepaskanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana Syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup. Tutuplah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah walaupun hanya dengan meletakkan sesuatu (sebatang kayu) di atasnya di atasnya, dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (Shahih al-Bukhari, no. 5623. Bab: Menutup Bekas-bekas Makanan)
Dalam riwayat lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ إِذَا رَقَدْتُمْ، وَغَلِّقُوا الأَبْوَابَ، وَأَوْكُوا الأَسْقِيَةَ، وَخَمِّرُوا الطَّعَامَ وَالشَّرَابَ – وَأَحْسِبُهُ قَالَ – وَلَوْ بِعُودٍ تَعْرُضُهُ عَلَيْهِ
“Matikanlah lampu-lampu apabila kamu tidur, dan tutuplah (kunci) pintu-pintu. Ikatlah (tutuplah) bekas-bekas minuman, dan tutuplah makanan-makanan dan minuman-minuman walaupun hanya sekadar dengan meletakkan sebatang kayu (lidi) di atasnya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5624)
18, Tidak Bernafas Ke Dalam Bekas Makanan atau Minuman
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا تَمَسَّحَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ
“Apabila salah seorang di antara kamu minum, maka janganlah dia menghembuskan nafasnya ke dalam bekas. Dan apabila salah seorang di antara kamu kencing, maka janganlah dia membasuh (menyentuh) kemaluannya dengan tangan kanannya. Dan apabila dia beristinja’, maka janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5630)
Wallahu a’lam.

Friday, 18 May 2012

Kesalahan-kesalahan dalam memberi nama



Kejahilan masyarakat dan kelalaian Ulama’ adalah di antara faktor mengapa berlakunya kesalahan (bertentangan dengan kehendak syariat) dalam memberi nama kepada anak-anak yang baru lahir. Adalah amat menyedihkan perkara ini tidak begitu dipedulikan seolah-olah kesalahan tersebut tidak begitu penting walhal Nabi s.a.w. amat menitikberatkan hal ini dengan mengubah nama sahabat-sahabat yang tidak elok atau tidak sesuai. Di antara kesalahan dalam memberi nama yang dikenalpasti di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia  adalah:

1. Nama-nama yang memberi makna yang tidak elok. Nabi s.a.w. pernah menukar nama sahabatnya Zaham (yang bermaksud ‘menyibuk, mengganggu’) kepada Basyir (yang bermaksud ‘berita gembira’). Di antara contoh nama yang  sering digunakan :

  • Hazan (Kesedihan), Hazin (Seorang lelaki yang sedih), Hazaniyyah (Hidup penuh dengan kesedihan)
  • Zani (Lelaki penzina), Zaniah (Penzina perempuan)
  • `Asiah (Perempuan penderhaka / Perempuan pembuat Maksiat)
  • Wati (Persetubuhan)
  • Azli (Celaanku), Azlan (Celaan)

2. Nama-nama Allah (sifat Tuhan), contohnya:
  • Azali
  • Muhaimin

3. Nama-nama yang berkaitan dengan tempat, contohnya:
  • Suyuti (Orang Asyut)
  • Bukhari (Orang Bukhara)
  • Ghazali (Orang Ghazal)
  • Nawawi (Orang Nawa)    
  • Misri atau Masri (Orang Mesir)
  • Baihaqi (Orang Baihaq)
  • Tirmizi (Orang Tirmiz)

4. Nama-nama yang memberi makna terlalu elok sehingga tidak sesuai diletakkan pada empunya nama seperti Khairunnisa` (sebaik-baik wanita) sedangkan dalam hadits ada menyebutkan: “Sebaik-baik wanita di alam ini adalah Asiah dan Maryam.” Selain itu nama ini juga seakan berlawanan dengan hadits.


5. Nama-nama yang dilarang dalam hadits seperti Yasar, Robah, Aflah, Najah dan lain-lain kerana ada sempena baik pada suatu nama. Sebagai contoh Najah (Kejayaan). Apabila ada orang bertanya: “Najah ada tak disini?” Maka dijawab: “Najah tiada disini,” secara tidak langsung memberi maksud kejayaan tiada di sini.

6. Nama yang mengangkat diri sendiri kerana Nabi s.a.w. sendiri ada menukarkan nama Barrah (yang bermaksud ‘yang sangat baik’) kepada Zainab

7. Nama yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti:
  • Abdul Manaf (Hamba berhala Manaf)
  • Ghulam `Ali (Hamba `Ali)

8. Nama yang sepatutnya untuk lelaki tetapi digunakan pada perempuan, seperti Nur (cahaya) dalam bahasa Arab adalah muzakkar (untuk lelaki)

9. Nama dengan makna yang tidak tepat dengan pemakainya seperti:
  • Siti (Puan) sedangkan gelaran ‘Puan’ hanya digunakan pada orang yang sudah berkahwin dan begitu juga dengan Anisah (Cik) pula hanya digunakan untuk wanita yang belum berkahwin sebagaimana yang digunakan di tanah Arab pada masa ini.
  • Sayyid (Tuan) digunakan oleh orang `Arab pada sesiapa sahaja asalkan dia lelaki dan ini tidak bermakna dia adalah dari keturunan Nabi s.a.w.

10. Nama yang sebenarnya adalah nama sesuatu pekerjaan dalam bahasa Arab, contohnya:
  • Masyitah (Tukang sikat rambut) digunakan pada mana-mana perempuan yang bekerja sebagai penyikat rambut
  • Halwani (Lelaki penjual kueh) digunakan pada mana-mana lelaki yang menjual kueh-mueh tetapi digunakan untuk perempuan di Malaysia.

11. Nama yang tidak betul seperti nama asalnya, seperti:
  • Zaleha – sepatutnya Zulaikha

12. Nama yang dihubungkan pada kisah yang tidak dipastikan kebenarannya, seperti:
  • ‘Zulaikha’ yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusuf yang terkenal dengan ketampanannya. Dipendekkan cerita kononnya Zulaikha bertemu semula dengan Nabi Yusuf setelah beliau sudah tua dan buta matanya. Oleh kerana cintanya begitu mendalam pada Nabi Yusuf akhirnya Nabi Yusuf menerimanya sebagai isteri. Kemudian Zulaikha kembali menjadi muda dan dapat melihat seperti sediakala. Inilah kekarutan yang direka-reka dan kemudiannya turut memberi kesan kepada masyarakat Islam sehingga menamakan anak-anak dengan nama Zulaikha dan menjadikannya sebagai doa dalam kad-kad perkahwinan.
  • Muti`ah kononnya adalah wanita pertama yang masuk syurga sebelum Fatimah al-Zahra` lagi. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang wanita yang paling solehah kerana sangat baik dalam melayani dan berkhidmat pada suaminya.

13. Nama yang memberi makna sifat, seperti:
  • Muti`ah (yang taat)

14. Nama yang tidak memberi apa-apa makna, lebih buruk lagi jika apabila dipendekkan memberikan makna yang tidak elok seperti:

  • Ezani – dipendekkan menjadi: Zani (lelaki penzina)

15. Nama yang terpengaruh dengan budaya  barat, contohnya:
  • Isaac – asalnya Ishak (Nama Nabi)
  • Harry – asalnya Khairi (Kebaikanku)

16. Nama yang memberikan makna yang tidak jelas atau lucu dalam bahasa Arab, contohnya:
  • Syamsul Bahri (matahari lautan)
  • Badrul Hisyam (bulan yang pecah-pecah)
  • Nik (kemaluan perempuan atau mentah, tidak matang)
  • Rafidhi (Syiah pelampau)
  • Atan (keldai betina)
  • Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)
  • Jamalullail (keindahan malam)

Nota: Sekiranya sesuatu nama memberikan beberapa makna termasuk yang baik dan buruk maka harus menggunakannya kerana ini ada dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri, contohnya:
  • Zainab         - makna baik   : nama bagi sejenis pokok yang wangi
                              - makna buruk : pengecut
  • Mu`awiyah  - makna baik   : pembela / pejuang
                              - makna buruk : yang menyalak

17. Nama yang mempunyai ‘ni’ dihujungnya seperti ‘Halwani’ yang sering digunakan pada orang perempuan masyarakat Melayu yang sebenarnya bermaksud ‘lelaki penjual kueh’.

Nota: Nama-nama bukan dari bahasa Arab yang elok maknanya juga harus dipakai seperti:
  • Fairuz
  • Sirin (manis –bahasa Farsi)
  • Rustam
  • Sarfaraz (mulia)
  • Sibawaih (wangian epal)

18. Nama-nama yang membawa maksud yang buruk atau langsung tidak memberikan apa-apa makna kerana salah sebutan atau ejaannya seperti:
  • Sukri (kemabukanku) – sepatutnya Syukri (Kesyukuranku)
  • Sya`ari (buluku) – sepatutnya Asy`ari
  • Nordin (tiada makna) – sepatutnya Nuruddin (cahaya agama)
  • Kadir (keruh) – sepatutnya `Abdul Qadir (Hamba kepada yang Maha Berkuasa)
  • Jamaluddin (Unta agama) – sebetulnya Jamaaluddin  جمال الدين(kecantikan agama) ya`ni sebutan yang panjang pada ‘maal’

19. Gabungan yang salah atau tidak kena pada tempatnya seperti ‘Nurhafizah’ tidak memberi apa-apa maksud kerana gabungan ini salah dari segi kaedah bahasa Arab, dan contoh gabungan yang betul: Nurhayati (cahaya hidupku), Nur`aini (cahaya mataku)

Nota: Harus menamakan dengan nama-nama bintang, burung atau bunga seperti Surayya, Aktar (tuah atau bintang dalam bahasa Farsi) dan lain-lain

20. Nama yang salah kerana tidak membezakan penggunaan ya mutakallim dengan ya nisbah.
Ya mutakallim adalah ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna ‘sesuatu milikku’ atau ‘daripadaku’ seperti:
  • Syukri (Kesyukuranku)
  • Fathi (Kemenanganku)
Ya nisbah pula ada ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna nisbah atau hubungan pada tempat, pekerjaan dan sebagainya. Contohnya:
  • Imam Jalaluddin as-Suyuti yang bermaksud: Imam Jalaluddin orang asyut
  • Imam Muhammad bin Isma`il al-Bukhari yang bermaksud: Imam Muhammad bin Isma`il orang Bukhara
  • Muhammad Asri yang bermakna ‘Muhammad tawananku’, ini kerana sebenarnya ini adalah ya mutakallim dan bukan ya nisbah. Nama yang betul ialah Muhammad ‘Asri

Nota:
Seelok-eloknya sesuatu nama hendaklah dipastikan betul ejaan ruminya kerana nama juga adalah merupakan doa kepada pemiliknya, sekiranya salah sebutannya maka berlainan pula maksudnya, contohnya:
نعيمة bermaksud yang bahagia, yang lembut, yang mulia tetapi apabila dieja mengikut ejaan rumi maka ia menjadi Naimah نائمة bermaksud yang tidur.

Selain itu terdapat ilmu yang dinamakan Ilmu Raksi yang mempunyai kaedah untuk mentafsir sifat seseorang berdasarkan namanya, ilmu ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam bab jenis-jenis ilmu.

Nota: Kita mungkin boleh mengelakkan kesalahan seperti ini dengan:

  • Membenarkan ejaan mengikut bahasa yang berkenaan seperti jawi, Arab dan lain-lain dalam kad pengenalan atau surat beranak supaya dapat disebut dengan betul mengikut kehendak penama tersebut.

Jabatan Pendaftaran membenarkan penama yang ingin menukar nama  yang tidak sesuai kepada nama yang menepati syariat.

  • Undang-undang diwujudkan bagi mewajibkan pendaftar nama mengikut kaedah yang betul supaya tidak tersalah dalam memberi nama.

Nota: Harus menggunakan nama gabungan dari ibu atau anak dan ayah sekiranya membawa makna yang elok, seperti nama seorang ulama`:

  • Ihsan Ilahi Zahir – Ayahnya bernama Zahir (pembela, penyokong) bermakna ihsan Tuhanku nyata.

  • Fadhal Ilahi Zahir – bermaksud kurniaan Tuhanku nyata.

21. Tidak boleh menggunakan nama ‘Malikul Muluk’ atau ‘Malikul Malak’ kerana ada larangan dalam hadits dan terdapat penggunaannya dalam al-Quran, firman Allah s.w.t:
لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

(Pada saat itu Allah berfirman): "Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaanya segala-galanya! [ Al-Ghafir :16 ]

dan ayat:
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dia lah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat sejahtera (dari Segala kekurangan); Yang Maha melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha suci Allah dari Segala Yang mereka sekutukan dengannya. [ Al-Hasyr: 23 ]

22. Tidak boleh menggunakan nama yang merupakan gelaran yang khusus kepada seseorang Nabi sebagai mukjizatnya, seperti:

  • Ruhullah (Roh daripada Allah) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Isa a.s kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa ayah dengan kuasa Allah

  • Khalilullah (Kekasih Allah) / Khalilurrahman (Kekasih kepada yang Maha Pengasih) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s

Selain itu nama-nama ini juga membawa maksud yang sangat tinggi dan keterlaluan untuk dipakai pada orang yang biasa selain bercanggah dengan hadits dan terdapat larangan yang terang berkaitannya.


Monday, 30 April 2012

Benarkah, WANITA 1 AKAL, 9 NAFSU?


        Sejak sekian lama masyarakat Islam di negara kita sentiasa terdedah dengan perkara yang pelik lagi menarik. Manusia memang berminat untuk mengetahui, mengeluar dan menyebarkan cerita-cerita yang karut, samada secara lisan, tulisan, filem atau apa saja.
          Cerita bahawa kaum lelaki memiliki 9 akal dan 1 nafsu, manakala perempuan pula sebaliknya, iaitu 1 akal dan 9 nafsu memang amat masyhur sekali di kalangan kita. Ia telah  dilihat dan diterima oleh masyarakat kita sebagai sesuatu yang benar. Jika ditanya dari manakah sumber fakta ini diambil, mereka akan menjawabnya; mendengarnya daripada para alim ulama’.


           Kata-kata sakti ini dinukilkan daripada dialog yang berlaku di antara Imam al-Hasan al-Basri dengan tokoh Sufi yang masyhur, Rabiatul Adawiyah rahimahumalLah. Iaitu semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya. Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan al-Hasan telah menjawab sebagaimana di atas, iaitu 9:1 dan 1:9.


           Demikianlah kisah yang didakwa telah berlaku di antara dua tokoh besar dalam Islam. Kisah ini telah dinukilkan oleh Usman al-Khaubawi, dalam kitabnya “Durrah an-Nasihin” , (dalam buku ini jugalah terdapat hadis masyhur di kalangan orang Melayu tentang kelebihan tertentu setiap malam solat terawih).
Menurut al-Fadhil Dr Abu Zaid, Ahmad Najib Abdullah al-Qari [mantan pensyarah KIAS, sekarang di APIUM, Nilam Puri] melalui makalah beliau dalam majalah “Pengasuh” terbitan MAIK bil 623:
           Cerita ini tidak benar sama sekali untuk dinisbahkan kepada al-Hasan al-Basri (apalagi kepada Rasulullah saw) kerana ia diambil daripada sumber yang tidak sahih. Hujahnya mudah sahaja, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H.  Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pendapat yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H [Lihat: Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’: 8341].
             Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, bagaimana pula boleh berlaku dialog sedemikian di antara mereka berdua?
             
            Benarkah ucapan ini benar2 dari imam hassan basri?? Sebagaimana yang ditulis dalam penerangan diatas menunjukkan agak mustahil berlaku dialog antara Imam Hassan Albasri dgan Rabiatul Adawiyah. Kata-kata ini begitu masyur dikalangan masyarakat melayu, bahkan jika dilihat sebenarnya ia menjadi fitnah kepada kaum hawa. Selalunya kaum adam akan mengatakan kaum hawa ini tak fikir panjang, cepat emosi, buat keputusan tergesa-gesa kerana mereka 1 Akal, dan kaum hawa juga hanya memikirkan tentang  kebendaaan/materislistik dan mata duitan, kerana mereka 9 Nafsu. Tidakkah ini satu diskriminasi buat kaum hawa.


         Islam mengangkat martabat kaum wanita, menjaga kehormatan kaum wanita. Masing2 lelaki dan perempuan diciptakan mempunyai kekurangan dan kelebihan masing2 untuk kita saling melengkapi. Seorang lelaki wajib mentaati ibunya, manakala isterinya wajib mentaatinya. Kita mesti saling menghormati antara sesama makhluk. Allah menciptakan manusia dengan kelebihan dan kekurangan masing2. Gunakan kelebihan yang dikurniakan Allah untuk membantu agamaNya, dan cubalah untuk memperbaiki kelemahan diri kita.


         Kalau ada orang cakap pasal ni, bagitau dia 1) Kata-kata ni bukan dari Nabi Muhammad(maka ia bukanlah satu hujah/nas). 2) Orang menyabitkan kata-kata ini kepada Hassan Al-Basri tetapi setelah dibuat penelitian maka tidak sabit juga dari Hassan Albasri. Maka katakan pada mereka hentikanlah menyebarkan kata-kata ini.




           Wallahua'lam.